GOLONGAN YANG MENDAPAT NAUNGAN ALLAH

Jumaat, 7 Mac 2014

 
Salam Sejahtera
  
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungan-Nya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, Aku takut kepada Allah, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya.
(Riwayat at-Tirmidzi)
Huraian  
  1. Pemimpin yang adil adalah pemimpin yang dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik terhadap rakyatnya selaras dengan tuntutan syarak.
  1. Manakala pemuda yang kuat beribadah adalah menunjukkan bahawa di usia muda terdapat pelbagai cabaran dan godaan. Pemuda yang berjaya mendidik nafsunya dengan baik akan beruntung kerana mempunyai kekuatan dari segi fizikal dan mental untuk melakukan kebaikan dan beribadah kepada Allah. Begitulah sebaliknya bagi mereka yang terjerat dengan pujuk rayu syaitan maka seluruh usia mudanya akan dihabiskan untuk melakukan maksiat dan dosa.
  1. Orang yang berjinak dengan masjid pula pasti mendapat jaminan syurga oleh Allah kerana ia telah menjadi tetamu Allah dan mengimarahkan masjid (rumah) Allah dengan amal ibadat dan amalan ini menjadikan hati mereka sentiasa dekat dengan Allah.
  1. Orang yang berkasih sayang kerana Allah merupakan mereka yang mempunyai nilai-nilai yang dituntut oleh Islam iaitu ikhlas dalam menjalinkan hubungan silaturahim dan ingat-mengingatkan tentang kebaikan antara satu dengan yang lain.
  1. Menolak daripada melakukan maksiat apalagi zina merupakan tanda keteguhan dan kekuatan iman seseorang dalam berjihad melawan nafsu dan bisikan syaitan yang menggoda.
  1. Orang yang mencintai Allah SWT dengan hati yang ikhlas semestinya akan merasa keagungan dan kebesaran Allah. Oleh itu di saat ia bertafakur kepada Allah akan keluarlah air mata kerinduan dan keinsafan dari dalam dirinya.

0 Comments: